Loyal Followers

20110129

Lelaki & Perempuan

Wanita memang hebat!

SEORANG teman (lelaki) tidak semena-mena melahirkan rasa kagum terhadap wanita. Cara dia memperkatakan tentang kehebatan wanita seolah-olah baru semalam menyedari betapa kaum Hawa memang hebat.
Dia yang berjawatan tinggi dan sudah berumah tangga agaknya tidak perasan staf di bawahnya 90 peratus adalah wanita. Wanita-wanita itulah yang menjaga kedudukannya selama ini. Mereka bertungkus-lumus memastikan setiap urusan berjalan lancar sekali gus menjadikan jabatan yang dikendalikan teman itu antara yang terbaik.
Apabila ditanya mengapa baru sekarang dia berpandangan begitu, jawapan yang diterima hanya senyuman. Lama baru dia menjawab: ''Kagum sebab wanita boleh buat semua benda. Di pejabat selesaikan segala urusan, balik rumah berhadapan pula dengan macam-macam kerenah. Kerenah anak, suami, orang gaji dan tuntutan merehatkan diri sendiri.
''Bangun pagi rutin wanita bermula lagi sehingga esok, esoknya dan berterusan selagi wanita ada kudrat.''
Walaupun kekaguman teman itu bukan perkara baru, tetapi hakikatnya itulah wanita. Selepas penat seharian di pejabat, wanita kembali ke rumah menyambung urusan rumah tangga, sebaik mahu merebahkan badan di katil menjadi pula tempat bermanja.
Di pejabat menyempurnakan tugas atas nama tanggungjawab, di rumah pula kasih sayang menjadi tema demi memastikan keharmonian rumah tangga terpelihara. Dalam banyak hal ramai wanita inginkan lebih 24 jam sehari supaya segala urusan dapat diselesaikan dengan rapi. Tetapi jika sehari itu mempunyai 48 jam atau beratus-ratus jam maka akan bertambahlah tugas dan tanggungjawab wanita.
Oleh itu janganlah ada mana-mana wanita meminta lebih daripada 24 jam sehari kerana kerja yang menunggu mereka juga akan menggunung dan hanya segelintir lelaki mahu meringankan beban mereka.
Apatah lagi bila difikirkan di sebalik kehebatan wanita adakalanya tidak mendapat perhatian, penghargaan jauh sekali pengiktirafan. Wanita masih berhadapan dengan isu diskriminasi gender biar pun kini ia berlangsung dalam suasana yang sedikit bersopan berbanding dahulu. Wanita juga terpaksa bekerja keras membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik dan selayaknya dinaikkan pangkat namun belum tentu peluang akan datang menggolek. Kepesatan dunia siber menyaksikan masih wujud sekelompok manusia yang masih memandang rendah terhadap wanita. Sebab itu ada suami yang sanggup sepak terajang isteri tetapi pada masa yang sama mendesak tuntutan batinnya dipenuhi menggunakan hujah jika tidak berbuat demikian maka wanita menanggung dosa. Lantas tangan yang memukul itu juga menjadi tangan yang membelai, memujuk rayu semata-mata mahu keinginannya dipenuhi. Ada lelaki sanggup memeras keringat dan menjual maruah wanita semata-mata untuk memenuhkan poketnya. Tidak kurang juga lelaki yang mendera mental wanita dengan membiarkan mereka digantung tidak bertali.
II
Ciri-ciri lelaki tulen
Ketika sibuk bercakap mengenai laman sosial seksualitimerdeka, ada yang menyampuk tentang cara untuk membezakan antara lelaki tulen dan gay. Yang menyampuk itu lelaki, kalangan yang mendengar juga ada di antaranya lelaki. ''Cuba seorang lelaki tarikh-tarikh penting seperti tarikh lahir isteri, anak, ulang tahun perkahwinan, tarikh bertunang. Kalau dia boleh ingat satu persatu, maknanya dia gay.''
Sambung seorang lelaki lagi: ''Lelaki tulen tidak gemar perkara kecil dan remeh, mengingati tarikh adalah salah satu daripada perkara yang mereka tak suka buat. Satu lagi lelaki tulen biasanya penampilan mereka kemas dan segak sekejap, bila tiba waktu petang atau malam, akan nampak serabut walaupun sedikit.''
Menurut dia lagi, gay selalunya dapat dilihat menerusi penampilan yang amat rapi, teliti dan terperinci. Selalunya mereka segak, kacak dan semestinya bergaya. ''Gay juga pandai mengambil hati, memenangi hati dan menyusun kata-kata yang boleh mencairkan hati. Mereka juga sering mempersonakan wanita tapi sayang hati gay untuk lelaki,'' sambung seorang lelaki lagi.
Pantas ada yang bertanya, adakah kesempurnaan gay bermakna mereka tidak memukul atau menggunakan kekerasan kepada pasangan seperti mana segelintir lelaki tulen selalu lakukan. Atau pun sama ada lelaki tulen mahu pun gay, semuanya sama kerana sememangnya mereka adalah lelaki.
PERINGATAN : Ini cerita tentang sesetengah lelaki. Bukan semua sifatnya begini. 
Aku suka artikel ni. Aku baca banyak kali. Bila baca aku rasa macam terbela terus jadi bangga. Kurang sekali keluar artikel tentang seorang lelaki mengiyakan tentang kehebatan kaum wanita. Selalunya mereka betah. Mereka akan kata, tanggungjawab seorang wanita itu mudah. Solat dan taat pada suami, syurgalah tempatnya sedangkan lelaki perlu menjawab setiap dosa-dosa yang anak perempuan dan setiap yang dipertanggungjawabkan untuknya sebelum masuk syurga. Dan ramai juga cakap, perempuan ni demand banyak sangat. Nak dibelai lah, nak itu lah, nak ini lah. Sebab kau bukan perempuan, sebab itu kau tak faham.
Back to reality.
Jarang sekali kita nak tengok seorang lelaki betul-betul menolong isterinya untuk membuat hal-hal remeh temeh. Selagi tak suruh, selagi tak suap sampai ke mulut selagi itu lah mereka duduk termonggok. Yang mereka fikir, kerja rumah kerja orang perempuan. Lagi-lagi sekarang ni dah ada Blackberry, iPhone, iPad, PSP dan segala macam jenis yang lebih mengkhayalkan dari ganja. Selagi isteri tak menjerit dari dapur untuk minta tolong, selagi itulah sesetengah lelaki tadi terus "high".
Masalah ni memang tak besar.
Tapi kalau sama-sama buat, tak salah kan? Kita semua tau tanggungjawab kita dekat mana tapi kalau setakat menolong isteri sendiri, tak ada salahnya. Pahala lagi dapat. Kadang-kadang jalan-jalan dekat mall, nampak seorang isteri sebelah tangan tolak stroller, sebelah tangan pimpin anak lagi satu. Laki dia dok jalan menonong sensorang atau dok belek henfon. Gila selfish. Kalau aku ni jenis kurang hajo, aku dah pergi tempik dekat muka laki tu.
Kadang-kadang orang perempuan ni, dia tak mintak banyak. Cukuplah sekadar suami dia faham, dia penat seharian. Itu belum bab melayan suami lagi. Ok, dah.
Pasal gay dekat atas tu, aku tak pasti tentang kesahihannya. Tapi kalau lah semua lelaki straight perangai macamtu, isteri kau paling bahagia di dunia dan di akhirat weh. Kalau korang mempunyai ciri-ciri lelaki yang aku sebut dekat atas tu, aku salute lah. Spesis macamtu makin pupus. Pupus dengan peredaran semasa yang sungguh banyak agendanya.

Berubah untuk sesuatu yang lebih baik adalah perkara yang paling payah nak buat tetapi ganjarannya sangat hebat dan boleh buat kau senyum terkulat-kulat.

2 comments:

  1. lelaki mmg susah nak fahami pompuan

    ReplyDelete
  2. fittiariri: sy stuju 2... diorg ni msh ttp try mmhmi kte tp still xphm2 gk....huhuhu

    ReplyDelete